Perkataan etika boleh dikaitkan dengan  kepercayaan, rasional, moral dan akhlak. Etika juga boleh didefinisikan sebagai prinsip bertingkahlaku yang mengawal individu atau profesyen. Prinsip tersebut merupakan nilai yang diterima dan dipersetujui oleh masyarakat dan jka dihayati, ianya dapat menggerakkan individu untuk mengambil keputusan dan tindakan yang bijaksana. Dalam konteks profesional, etika profesional perlu digunakan sebagai garis panduan untuk menerangkan peranan profesion dan tingkah laku yang harus diamalkan oleh golongan profesional ini supaya tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dapat ditingkatkan. Ini kerana, golongan profesional mempunyai status yang tinggi dalam masyarakat disebabkan peranan mereka yang signifikan dalam membangun dan mempertingkatkan kesejahteraan hidup orang ramai. Dalam menggalas tangungjawab tersebut, golongan profesional ini ada kalanya berhadapan dengan dilema etika yang perlu ditangani dengan kesedaran etika yang tinggi. Jika tidak, perbuatan tidak beretika seperti pecah amanah, mengambil rasuah, melakukan penipuan, mementingkan diri dan sebagainya akan berlaku.