Sepertimana bidang falsafah, bidang falsafah sejarah juga dapat dikaji dari dua sudut pendekatan. Kedua, melalui sudut pendekatan yang sistematik, di mana terdapatnya tema atau persoalan-persoalan besar di dalam bidang falsafah sejarah ini. Dalam hal ini, dipilih pendekatan yang kedua.Selaras dengan sudut pendekatan sistematik ini, pertama sekali perlu dibahaskan konsep falsafah sejarah itu sendiri. Akan tetapi sebagai cabang falsafah ilmu (philosophy of knowledge), maka pengetahuan asas tentang falsafah ilmu ini perlu juga difahami. Sebagai suatu bidang yang tersendiri, falsafah sejarah pada dasarnya mengandungi dua cabang utama, iaitu falsafah sejarah kritikal dan falsafah sejarah spekulatif.Pertama mengenai falsafah sejarah spekulatif, ia berusaha menemukan suatu struktur dasar dalam keseluruhan arus sejarah. Sekiranya seorang sejarawan biasa cuma setakat ingin menggambarkan keadaan masa silam, tetapi seorang sejarawan spekulatif tidak merasa puas dengan itu, malah mencari suatu struktur dalam yang tersembunyi di dalam proses sejarah itu.Bertolak dari pandangan seperti ini, muncullah teori-teori tentang geraksejarah di kalangan ahli sejarawan spekulatif ini. Dalam membahas persoalan ini, tinjauan dapat juga dilakukan melalui pemikiran tokoh-tokoh yang tertentu, seperti pada pemikiran Hegel, Toynbee, dan Reinhald Niebuhr. Akan tetapi cara yang lebih popular ialah dengan membahas teori-teori geraksejarah itu sendiri, iaitu teori gerakmaju, teori gerakmundur, dan teori kitaran sejarah.Di samping persoalan tertentu, sejarawan spekulatif ini juga cuba mencari hakikat dan makna dalam perjalanan sejarah. Ada 7 aliran.Kemudiannya mengenai falsafah sejarah kritikal, dari segi tertentu ia turut membahas tentang kebenaran sumber atau saranan-saranan pengetahuan sejarah sepertimana sejarawan biasa. Cuma cara pendekatannya sahaja yang bersifat falsafah, walaupun tema perbahasannya sama.Walau bagaimanapun terdapat persoalan-persoalan besar lain yang menjadi tumpuan sejarawan kritis ini. Yang penting sekali ialah tentang masalah penjelasan sejarah, atau khususnya masalah penyebaban atau sebab-akibat. Walaupun persoalan ini juga turut dibahaskan oleh sejarawan biasa, tetapi ia cuma mengkaji cara-cara tertentu yang digunakan untuk menjelaskan masalah ini, seperti sebab jangka-panjang dan jangka-pendek dan yang seumpamanya. Akan tetapi bagi sejarawan kritikal, yang ditemui ialah bentuk-bentuk penjelasan itu dalam pelbagai unsurnya, baik bersifat determinisme mahupun indeterminisme.Demikian juga seperti sejarawan biasa, sejarah falsafah kritikal juga turut membahas masalah objektiviti dalam sejarah. Dan dalam hal ini, selalunya ia berkisar tentang pertentangan di antara aliran subjektivisme dan objektivisme, serta jalan tengah di antara kedua-dua aliran yang ekstrim ini.Memang banyak aspek lain yang dibahaskan dalam falsafah sejarah, tetapi inilah di antara aspek-aspeknya yang utama.Rujukan:1. Abdul Rahman Hj.Abdullah. (2004). Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur, Utusan Publications Dan Distributors.2. Grace E.Cairns. (1962). Philosophies of History: Meeting of East and West in Cycle- Pattern Theories Connecticut: Greenwood Press.3. William H.Dray. (1964). Philosophy of History. Englewood Cliffs. New Jersey: Prentice-Hall.