Kursus ini terbahagi kepada tiga bahagian utama, iaitu zaman klasik dan zaman pertengahan dan zaman moden. Bagi Zaman Klasik perbincangan bermula daripada tamadun pra-vedic di Lembah Indus, baik dari segi sosio-ekonomi mahupun agama. Dengan kedatangan kaum Aryan maka bermulalah tamadun Vedic yang menonjol sekali dalam bidang agama. Dari sudut politiknya, lahirlah dinasti Maurya dan dinasti Gupta yang merupakan zaman keemasan dalam sejarah India Klasik. Bahagian ini ditamatkan dengan perbahasan tentang warisan tamadun India dari segi material mahupun intelektual.Bagi zaman pertengahan, ia merupakan zaman pemerintahan Islam di India yang bermula dengan kerajaan Ghaznawiyah pada abad ke-10. Selepas itu tertubuhlan kesultanan Delhi yang didahului oleh kerajaan Ghori dan diikuti oleh kerajaan-kerajaan Mamluk, Khilji dan Tughluq. Dengan kejatuhannya, naik pula kesultanan Moghul yang bermula dengan Babur pada abad ke-15. Bahagian ini juga akan membahaskan warisan tamadun material dan intelektual terutama perkembangan agama Islam.Bagi zaman moden ia akan meneliti peranan imperialisme British dan nasionalisme India/Pakistan dalam pembentukan sejarah moden benua kecil India. Buat permulaannya, perhatian akan ditumpukan kepada pengaruh imperialisme British dan kajian yang teliti akan dilakukan terhadap institusi-institusi politik, pentadbiran, ketenteraan, ekonomi, pendidikan dan sosial yang diperkenalkan oleh British serta menilai kesan institusi-institusi tersebut ke atas masyarakat pribumi benua kecil India. Kemudian usaha akan dibuat untuk meninjau peranan nasionalisme dalam perjuangan rakyat pribumi untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan asing. Asal-usul gerakan nasionalisme India, perpecahan antara kaum Hindu dan Islam, penglibatan rakyat jelata dalam Kongres Kebangsaan India dan Liga Muslim serta tindakbalas pihak berkuasa British akan diberi liputan yang terperinci dengan tujuan memperolehi satu kefahaman yang asas mengenai cara India dan Pakistan mencapai kemerdekaan dalam tahun 1947.Rujukan:1. Abdul Rahman Hj. Abdullah. (1992). Pemikiran Islam Masa kini: Sejarah dan Aliran. Utusan Publication, K.L.2. Fadhlullah Jamil. (2005). Dunia Islam Zaman Moden: Cabaran dan Konflik, Edisi Kedua. Thinkers Library, Batu Caves, Selangor.3. Mahmud Husain et. Al. (eds.). (1984). A History of the Freedom Movement, 1707-1947, Vol. 1. Renaissance Publishing House, Delhi.